Selepas
bencana gempa bumi dan tsunami terjadi dan terkini ancaman radioaktif
yang mengancam umat manusia sejagat di bumi Allah swt ini. Mari
sama-sama kita menghafal dan membacanya setiap masa memohon rahmatNya,
dipeliharaaNya dan mohon perlindungan dariNya. Semuga kita dipanjangkan
umur hanya untuk beribadat kepadaNYa.
Surah
Baqarah ayat 284-286 yang selalu dibacakan semasa tahlil arwah dan
selepas Al-fatihah rakaat pertama dalam solat sunat tahajjud banyak
fadhilatnya.
KEUTAMAAN SURAH AL-FATIHAH DAN AYAT-AYAT PENGHABISAN SURAH AL-BAQARAH.
Dari Ibnu 'Abbas r.a, katanya.,
"Pada
suatu waktu, kitika Jibril sedang duduk disamping Nabi saw,.
sekonyong-konyong kedengaran suatu bunyi seperti pintu sedang dibukakan
orang. Lalu diangkatnya kepalanya, seraya berkata: "Nah! inilah pintu
langit dibukakan hari ini, dimana sebelumnya tidak pernah dibuka
melainkan baru ini." Dari pintu itu turun malaikat. Kata Jibril "Inilah
malaikat turun ke bumi, dimana dia tidak pernah turun sebelumnya,
melainkan baru ini" Setelah malaikat itu memberi salam, lalu dia
berkata, "Gembiralah umatmu dengan dua cahaya yang kedua-duanya hanya
diturun kepadamu, dan tidak pernah diturunkan kepada para Nabi sebelum
kamu, iaitu Surah Al-Fatihah dan ayat penutup surah Al-Baqarah
(Ayat:284-286). Tidak satu huruf pun yang anda baca dari kedianya,
melainkan akan diberikan pahalanya kepada anda" (Riwayat Hadis Imam Muslim)
Dari Abu Mas'ud Al-Anshari r.a, katanya Rasulullah saw bersabda:"
Siapa yang membaca kedua ayat itu, yakni dari akhir surah Al-Baqarah, niscaya keduanya akan memeliharanya dari bencana."(Riwayat Hadis Imam Muslim)
Segala
yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah dan jika
kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu
menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya
kepada kamu. Kemudian Dia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya
dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang
peraturanNya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (284)
Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari
Tuhannya dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada
Allah dan Malaikat-malaikatNya dan Kitab-kitabNya dan Rasul-rasulNya.
(Mereka berkata:) Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain
Rasul-rasulnya. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami
pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami dan kepadaMu jualah tempat
kembali. (285). Allah tidak memberati seseorang melainkan apa
yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya
dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka
berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan
kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami!
Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana
yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada
kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang
kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta
ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong
kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap
kaum-kaum yang kafir. (286).
Wasallam.
No comments:
Post a Comment