Oleh: Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din
Banyak
perkara ganjil berlaku. Salah satu yang ganjil adalah cerita mengenai
manusia yang dilarikan jin masuk ke alamnya dan hilang dari alam
manusia. Beberapa ketika kemudian orang berkenaan muncul balik dan
memberitahu dilarikan jin. Ada orang kampung saya yang hilang, selepas
tujuh hari mencarinya, tiba-tiba dia ditemui di belakang rumahnya.
Betulkah cerita-cerita sebegini. Harap Dato’ dapat jelaskan.
SUBHAN JAMAL, Kuala Langat
Jawapan
Saya pun banyak mendengar cerita seperti yang saudara sebutkan itu. Boleh dipercayai atau tidak, jawapan saya boleh.
Cerita
sebegitu boleh dipercayai. Tetapi ingin saya berpesan, jangan sesekali
kita mempercayainya bulat-bulat tanpa diselidiki sehalus-halusnya.
Dunia
kita ini didiami oleh banyak makhluk. Manusia, jin, haiwan,
unggas-unggas, ikan dan sebagainya. Apabila kita berkongsi tempat
tinggal di dunia ini, maka dengan sendirinya kita akan berinteraksi
dengan semua makhluk ini.
Kita akan berjumpa, berkawan, bersapa, bermusuh dan sebagainya.
Syaitan (makhluk halus) wujud. Mereka pada umumnya adalah musuh
manusia. Makhluk halus boleh menyerupai manusia dengan pelbagai rupa.
Salah
satunya mereka boleh menyerupai manusia seperti yang disabitkan dalam
Firman Allah SWT dalam al-Quran (mafhumnya): “Dan (ingatlah) ketika
syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka, serta menghasut
mereka dengan berkata: “Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat
manusia yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku (syaitan)
adalah pelindung dan penolong kamu……..(hingga akhir ayat).” (Surah
al-Anfaal, ayat 48)
Kesimpulan daripada ayat ini menurut ahli
tafsir, adalah peristiwa dalam Perang Badar, apabila syaitan yang zahir
dalam bentuk manusia, dikenali menyerupai Suraqah bin Malik bin Jukshum.
Suraqah
(syaitan tadi) bersama dengan bala tenteranya, kononnya mahu menolong
kuffar Makkah ketika itu untuk mengalahlan umat Islam.
Akhirnya
apabila bertemu kedua-dua pasukan, Suraqah bersama bala tenteranya,
lintang pukang cabut lari dari medan peperangan. Rupa-rupanya Suraqah
dan tenteranya, bukan Suraqah sebenar yang dikenali oleh puak Musyrikin,
ia adalah jelmaan syaitan.
Jelas daripada ayat ini, menunjukkan
syaitan (makhluk halus) boleh berubah menjadi makhluk kasar, dan atas
perkara yang sama, makhluk kasar (seperti manusia) boleh berubah menjadi
makhluk halus. Manusia boleh hilang pada pandangan mata kasar dan
berada dalam alam makhluk halus.
Dalam Kitab Gharaib Wa’ajaaibul
Jinn karangan Al-Muhadith al-Qadi Badruddin as-Syubli, di halaman 99
ditulis suatu tajuk ‘Hukum ke atas isteri yang suaminya dilarikan jin’.
Diceritakan
di dalam bab tersebut, bahawa pada zaman Umar al-Khattab (r.a.) menjadi
khalifah, seorang perempuan mengadu kepada Umar tentang kehilangan
suaminya (dilarikan jin). Umar bertanyakan wanita tersebut dan
membenarkan dakwaannya.
Umar memberi hukum, perempuan itu terpisah
dengan suaminya dan hendaklah ber’idah selama 4 tahun. Sesudah genap
ber’idah, dia mendatangi Umar sekali lagi untuk meminta kebenaran
berkahwin.
Setelah berkahwin dengan suami yang kedua, suami
pertama yang hilang dahulu muncul semula dan mereka bersengketa kerana
perempuan itu ada dua orang suami.
Mereka mendatangi Umar semula kerana dialah yang membenarkan perempuan itu berkahwin.
Umar
berkata kepada suami pertamanya mengapa kamu menghilang diri begitu
lama. Lalu lelaki itu menjawab dengan mengatakan beliau mempunyai alasan
yang kuat kerana, dia ditawan oleh jin sepanjang masa dia hilang
tersebut. Dia akhirnya dibebaskan.
Umar memberikan pilihan kepada
suami yang pertama itu iaitu, sama ada hendak bersama dengan isterinya,
dia akan memfasahkan perkahwinan kedua, atau dia menceraikan isterinya
kerana ada suami yang kedua dan dia berhak mendapat kembali mahar yang
dibayarnya semasa berkahwin dahulu.
Kisah ini dengan sendirinya
membenarkan cerita bahawa terdapat manusia yang hilang kerana
disembunyikan makhluk halus dan boleh kembali semula.
Namun
demikian tidak semua cerita seperti ini benar. Kadang-kadang ada orang
yang mengambil kesempatan, dia menghilang diri, bukan disorok jin,
tetiba muncul semula dengan dakwaan sedemikian.
Tidak mustahil,
orang yang mempunyai masalah dirinya, menghilangkan diri daripada orang
ramai dengan pergi ke tempat yang jauh, akhirnya pulang dengan
masalah-masalah yang tertentu.
Hal sebegini, kes-kes manusia dihilangkan jin jarang berlaku. Ianya kes terpencil, kita patut berhati-hati.
Wallahua’lam.
(Petikan dari Ruangan bersama Ustaz Dr. Haron Din: Harakah Bil.1340)
No comments:
Post a Comment