http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1117&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm
BEREGU kedua negara, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong terus mempamerkan
aksi cemerlang apabila menempah slot final Kejohanan Badminton Siri
Super Premier Terbuka China 2013 semalam.
Lebih menarik, pasangan No. 11 dunia itu menewaskan gandingan lama
dan baharu tuan rumah, Cai Yun-Chai Biao 23-21, 21-17 untuk mara ke
pentas final buat kali pertama pada Terbuka China di Gimnasium Yuan
Shen, Shanghai itu.
Begitupun, perlawanan itu tidak mudah bagi Thien How-Wee Kiong yang
turut dipaksa berhempas-pulas dalam perlawanan dua set yang berlangsung
dalam tempoh 43 minit.
Saingan lebih sengit pada set pertama apabila yang berjaya mengheret
perlawanan ke mata penentuan terus mengutip tiga mata untuk mendahului
23-21.
Set kedua hanya sengit pada aksi-aksi awal, namun mereka lebih mengusai perlawanan sebaik sahaja mendahului 8-6.
Pada aksi final hari ini, Thien How-Wee Kiong akan bertemu juara
Terbuka Denmark 2013, Lee Yong Dae-Yoo Yeong Seong yang turut mara
selepas menewaskan Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa dari Jepun 19-21,
21-19, 21-11.
Ternyata kemaraan itu turut menggembirakan jurulatih beregu, Pang
Cheh Chang walaupun dia kini ditugaskan untuk menjaga pemain-pemain muda
pada Cabaran Antarabangsa Malaysia 2013 di Sarawak.
"Bagus untuk pasukan beregu kerana di sini juga ada wakil di final
iaitu Teo Ee Yi-Chooi Kah Ming. Walaupun jauh tetapi saya menonton
permainan mereka (Thien How-Wee Kiong) secara langsung di televisyen.
"Mereka memiliki semangat dan strategi yang digunakan juga betul.
Saya juga ada hubungi dan memberikan sedikit info supaya mereka ada
persiapan," kata Cheh Chang.
Sementara itu, pemain perseorangan negara, Chong Wei Feng terkandas
lebih awal selepas disingkirkan pemain China, Chen Long dalam aksi
separuh akhir semalam.
Bagaimanapun pemain No. 17 dunia itu sempat memberikan tentangan
sengit kepada Chen Long sebelum tewas dengan lebih mudah pada set kedua
18-21, 7-21.
Wei Feng berkata, kelemahannya yang kerap melakukan kesilapan pada set kedua telah menjejaskan corak permainannya.
"Saya melakukan kesilapan mudah pada set kedua. Jurang mata yang
terlalu jauh juga telah telah mengganggu fokus dan keyakinan saya. Saya
perlu tingkatkan lagi konsistensi permainan selepas ini," kata Wei Feng.
No comments:
Post a Comment