Anda Musykil Dr Mashitah Jawab
Saya remaja perempuan yang baru tamat pengajian di institusi
pengajian tinggi awam dan mempunyai pendidikan agama yang kuat hasil
didikan ibu bapa. Masalah timbul apabila saya sering kali didatangi
musibah hingga membuatkan saya stres dan emosional.
Sejak itu saya mula menghisap rokok dan tidak lagi mendirikan
solat ataupun menutup aurat. Kadangkala terdetik di hati saya, adakah
Allah itu wujud? Apakah buktinya? Saya juga mula mempersoalkan suruhan
agama lain seperti tuntutan menutup aurat dan hak poligami.
Saya tidak menentang ajaran agama tetapi saya hanya mempertikaikannya. Adakah saya dikira murtad?
BUNGA
Subang Jaya
Saya simpati dengan masalah yang menimpa saudari. Orang Islam
dididik supaya bersabar ketika menerima musibah dan bersyukur sewaktu
menerima nikmat. Setiap ujian Allah ada hikmahnya, cuma manusia yang
cetek ilmu untuk menafsirkannya.
Memandangkan saudari tidak kuat menghadapi dugaan bersendirian,
sebaiknya bersandar pada mereka yang kuat. Bila berdepan musibah
rujuklah pada ibu bapa dan keluarga terdekat, pastinya mereka akan
menasihati saudari ke jalan yang benar.
Saudari kecewa kerana hajat tidak tertunai lalu mula
mempertikaikan kewujudan Allah. Ketahuilah bahawa Rukun Iman antaranya
mewajibkan kita percaya pada qada dan qadar iaitu ketentuan daripada
Allah. Terimalah ketentuan Allah dengan reda, serahkan diri pada Allah
dan saudari akan tenang.
Hayati firman Allah SWT, “Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu
padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu
padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui
(semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (surah al-Baqarah,
ayat 216)
No comments:
Post a Comment