KUMPULAN Sepahtu memberi aksi spontan saat diumumkan sebagai juara Maharaja Lawak Mega 2013.
PERSEMBAHAN bersahaja kumpulan Sepahtu pada pertandingan akhir
Maharaja Lawak Mega 2013 (MLM 2013) di Stadium Malawati, Shah Alam
kelmarin sudah dapat diduga.
Tepukan gemuruh serta sorakan daripada hampir 10,000 penonton usai
persembahan Sepahtu seakan-akan memberi isyarat bahawa kumpulan tersebut
bakal dinobatkan sebagai juara program realiti itu.
Kemenangan Sepahtu yang dianggotai Mohd. Nadzri Zainal Abidin (Jep),
Shahmira Muhammad (Shuib) dan Rahim Mat Ali (Rahim R2) sebenarnya
rentetan daripada undian terkumpul sebanyak 25 peratus sejak MLM 2013
bermula lebih 12 minggu lalu. Program akhir itu turut disertai kumpulan
Shiro, Bocey, Jambu dan peserta solo, Nabil.
Persembahan mantap yang ditonjolkan secara konsisten pada segmen
muzikal dan tema bebas itu ternyata memberi kelebihan kepada kumpulan
Sepahtu untuk meraih dominasi undian SMS.
Bermodalkan gaya serta identiti tersendiri, mereka mencipta sejarah
tersendiri apabila meraih markah tertinggi sebanyak 72 peratus sekali
gus menewaskan empat finalis pada malam itu.
Strategi 70 peratus markah disumbangkan oleh panel juri tetap
manakala bakinya menerusi undian SMS penonton di rumah banyak memberi
kelebihan kepada Sepahtu.
Kesemua persembahan diadili oleh pengarah dan penerbit filem
terkenal, Datuk Yusof Haslam; pelakon, Nora Danish; pelakon Indonesia,
Luna Maya dan rapper Singapura, Sheikh Haikel.
Menurut Yusof, kemenangan yang berpihak kepada kumpulan Sepahtu merupakan hasil usaha keras mereka.
Tambahnya, setiap kumpulan mempunyai kekuatan tersendiri dan persembahan yang ditampilkan menepati kehendak penjurian.
"Saya dan juri-juri yang lain ada berbincang mengenai kumpulan
Sepahtu pada MLM 2013 minggu lalu. Sekiranya Sepahtu tidak menunjukkan
peningkatan pada pertandingan akhir MLM 2013, mereka berada di zon
bahaya.
"Namun, saya lihat kumpulan Sepahtu berjuang habis-habisan. Malah,
setiap peserta tidak dinafikan mempunyai kekuatan tapi ini semua rezeki
Allah. Perjuangan untuk beraksi di pentas komedi bukan terhenti di
sini," ujar Yusof.
Mengulas mengenai kemenangan Sepahtu, Jep memanjatkan kesyukuran kepada Allah atas kemenangan yang berpihak kepada kumpulannya.
"Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana peminat tidak henti-henti
menyokong kami. Terlalu besar pengorbanan mereka sehingga kami bergelar
juara MLM 2013 pada musim kali ini.
BARISAN panel juri tetap yang terdiri daripada (dari kiri) Yusof Haslam, Luna Maya, Sheikh Haikel dan Nora Danish.
"Kami sedikit kecewa pada minggu lalu apabila gagal menghiburkan peminat di Johor sewaktu melakukan persembahan di sana.
"Namun, menerusi kekecewaan itu kami bangkit dan mahu menebus
kesilapan yang telah dilakukan. Mungkin kami leka, tetapi kami bersyukur
peminat masih memberikan sokongan sehingga ada yang membuat kenduri doa
selamat," ujarnya.
Nabil tercorot
Bercerita mengenai hadiah kemenangan, Jep berkata, ganjaran wang
tunai sebanyak RM500,000 itu akan diagihkan sama rata antara mereka
bertiga.
"Kedudukan Rahim bersama Sepahtu buat masa ini hanya untuk projek MLM 2013 dan untuk selanjutnya kami belum dapat tentukan.
"Dia akan kembali bergerak bersama kumpulan R2 kerana Rahim diundang
buat sementara. Saya kira, perkara ini tidak jadi masalah kerana
masing-masing memahami perkara tersebut," katanya.
Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh kumpulan Shiro yang
dianggotai oleh Shahrol Azizie Azmi (Shahrol) dan Mohamad Hanaffi Razak
(Ajak) yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM250,000 dan trofi
sumbangan Astro.
Kemenangan tempat ketiga begitu mengejutkan apabila kumpulan Bocey
yang dianggotai oleh Mohd. Nasir Hamzah (Acey), Syed Umar Makhtar Syed
Mohd. Redzuan (Abam) dan Muhammad Fadzlie Mohd. Nizam (Fad) berjaya
mengalahkan pelawak senior seperti Jambu dan Nabil.
Kumpulan Bocey berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000 dan
trofi sumbangan Astro manakala kumpulan Jambu yang dianggotai oleh
Zamatul Amir (Tauke) dan Yusri B Edoo (Pak Yus) mendapat tempat keempat.
Mereka berjaya meraih hadiah wang tunai RM50,000 dan trofi sumbangan Astro.
Nabil yang merupakan juara Raja Lawak musim kedua terpaksa berpuas
hati dengan kedudukan tercorot namun dia tetap membawa pulang wang tunai
berjumlah RM15,000.
Sementara itu, Ketua Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani
berkata, pihaknya sudah menyusun pelbagai program pada tahun ini untuk
memastikan rancangan komedi terus dimainkan di televisyen.
"Malah, perancangan untuk meneruskan MLM sudah pun bermula. Jika
tiada halangan MLM 2014 akan bermula pada bulan Oktober nanti," kata
Nizam.
Tambahnya, kesemua 16 peserta MLM 2013 memberikan impak yang positif
kepada penonton sepanjang 12 minggu program realiti itu disiarkan.
Astro Warna saluran 132 meraih peningkatan dari segi jumlah rating
televisyen yang secara tidak langsung membuktikan kehebatan lawak yang
disampaikan mengukuhkan lagi sokongan daripada peminat, katanya.