|
BERBEKAM merupakan proses membuang darah kotor atau dipanggil
detoksifikasi (pengeluaran toksin) dari dalam tubuh melalui permukaan
kulit.
Tetapi jarang kita mendengar tentang rawatan bekam wajah. Pelbagai persoalan bermain di fikiran apabila bercakap mengenainya.
Seperti yang diketahui, kaedah bekam badan sahaja sudah meninggalkan kesan, inikan pula berbekam wajah.
Menurut Pengarah Yoyoy Kamphora Spa, Nurul Huda Saparudin, perkhidmatan bekam wajah ditawarkan di spa itu sejak enam tahun lalu.
“Sebenarnya rawatan bekam tidak begitu popular tetapi bagus untuk
mereka yang mempunyai masalah migrain, resdung, sakit kepala, kulit
kusam dan jerawat.
“Keunikan bekam wajah ini ialah ia dihala terus ke bahagian muka yang mempunyai darah kotor,” ujarnya.
Tambahnya, pelanggan tidak perlu risau akan kesan parut pada wajah
selepas proses pengeluaran darah kotor kerana ia akan hilang dalam masa
dua atau tiga hari selepas itu.
“Sebelum melakukan proses bekam, pelanggan terlebih dulu akan melalui
sesi urutan pada bahagian leher dan bahu serta rawatan muka menggunakan
minyak zaitun atau kelapa dara bagi melancarkan peredaran darah.
“Toksin selalunya akan berkumpul di hujung kulit dan urutan itu
bertujuan memudahkan toksin atau darah kotor dikeluarkan melalui proses
bekam angin atau bekam darah.
“Jumlah gelas bekam yang digunakan di beberapa bahagian muka seperti
dagu, dahi dan pipi bergantung kepada keadaan fizikal dan tahap
kesihatan pelanggan,” jelasnya yang mengakhiri proses bekam wajah
menggunakan minyak gamat bagi mempercepatkan proses penyembuhan luka.
Penyembuh
Ujarnya, rawatan bekam wajah biasanya dilakukan dalam tempoh singkat
iaitu 30 minit. Seelok-eloknya dilakukan sebulan sekali atau dua minggu
sekali bagi mendapatkan kesan lebih ketara.
“Selain bagus untuk kesihatan, bekam wajah juga dapat membantu menaikkan seri wajah terutamanya pada bakal pengantin.
“Ada juga pelanggan yang mempunyai masalah jerawat yang teruk mencuba
rawatan bekam wajah ini dan alhamdulillah masalah jerawatnya
berkurangan sebanyak 50 peratus selepas menjalani dua sesi rawatan.
“Kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan kaedah ini kerana ia dapat mengurangkan masalah di muka dan kepala,” katanya yang turut melakukan bekam wajah setiap bulan.
Katanya, pelanggan akan dikenakan bayaran RM100 bagi keseluruhan pakej bekam wajah itu.
Pelanggan, Nurul Azmira Daud, 22, memberitahu, masalah jerawatnya yang teruk akibat resdung semakin berkurangan selepas menjalani rawatan bekam wajah.
“Sekadar mahu mencuba selepas diberitahu oleh rakan yang spa ini ada menawarkan perkhidmatan bekam wajah.
“Selepas hampir tiga bulan menjalani rawatan, saya dapati rasa gatal pada muka sudah berkurangan malah jerawat juga tidak seteruk dahulu.
“Mungkin ramai yang tidak mahu melakukan rawatan ini kerana bimbang akan kesan lebam yang ditinggalkan tetapi kesan itu biasanya hilang dalam masa dua hari,” ujarnya yang menjalani rawatan bekam wajah seminggu sekali.
Tambahnya, sebelum ini, dia tidak pernah menjalani sebarang rawatan untuk memulihkan masalah jerawat, resdung dan migrain yang dialami.
“Rawatan ini ibarat penyembuh kepada saya kerana saya tidak perlu lagi mendapatkan rawatan di lokasi yang berbeza.
“Muka saya terasa lebih ringan dan segar selepas menjalani rawatan ini,” kata pelajar di sebuah kolej di Cheras, Kuala Lumpur ini.
No comments:
Post a Comment