Selawat Nariyah disebut juga selawat 'Tafrijiyyah' yang ertinya terbuka
sehingga menjadi lapang. Selawat ini jika diamalkan dapat menghilangkan
kesempitan dengan izin Allah. Bagi seseorang yang menginginkan agar
kehidupan sehariannya berjalan lancar, jauh dari gangguan dan persaingan
sebaiknya ia mengamalkan selawat Nariyah dengan membacanya selepas
sembahyang fardhu sebanyak yang ia mampu.
Bagi orang yang menghadapi
kesempitan atau kebuntuan dalam menyelesaikan apa-apa masalah baik dalam
bidang perdagangan atau dalam menghadapi orang yang berniat jahat, maka
selawat ini bolehlah dibaca sehingga 4,444 kali.
Kata Imam Addinuri Rahimahumullah, siapa-siapa membaca selawat ini
tiap-tiap lepas sembahyang fardhu sebanyak 11 kali yang dijadikan
sebagai wirid nescaya tidak putus rezekinya dan ia akan mencapai ke
darjat yang tinggi.
Dan kata Imam al-Qurtubi pula siapa membaca selawat
ini tiap-tiap hari sebanyak 41 kali nescaya Allah ta�ala hilangkan
dukacitanya dan diluaskan rezekinya dan dibukakan segala peluang yang
berkebajikan dan dikasih pula oleh orang ramai.
Menurut satu riwayat berkata Syed Muhammad Haki, pengasas Wirid
Khaujakan (خوجكان) dia telah mengajarkan selawat ini kepada orang buta
selama dua puluh lima tahun. Kemudian seorang perempuan buta telah
membaca dengan sempurna sehingga 4,444 kali dalam masa lapan hari; maka
dengan izin Allah terbukalah kedua matanya.
Bacaannya ialah:
اَللّهُمَّ صَلِّ صَلاَةً كَامِلَةً وَسَلِّمْ سَلاَمًا تَامًّا عَلَى
سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الَّذِى تَنْحَلُّ بِهِ الْعُقَدُ وَتَنْفَرِجُ بِهِ
الْكُرَبُ وَتُقْضَى بِهِ الْحَوَائِجُ وَتُنَالُ بِهِ الرَّغَائِبُ
وَحُسْنُ الْخَوَاتِمِ وَيُسْتَسْقَى الْغَمَامُ بِوَجْهِهِ الْكَرِيْمِ
وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ فِي كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ بِعَدَدِ كُلِّ
مَعْلُومٍ لَكَ
Ertinya:
Ya Allah, limpahkanlah rahmat yang sempurna dan berilah kesejahteraan
yang sempurna kepada junjungan kita Nabi Muhammad Shallallahu �alaihi
wasallam yang menjadi sebab terlepasnya sesuatu yang masih mengalami
jalan buntu dan terbukanya kesempitan serta didatanginya semua hajat dan
diperoleh semua pemberian serta husnul khatimah (kesudahan hayat yang
baik) dan diturunkan siraman mendung (hujan) kerana keagungan baginda.
(Dan limpahkanlah rahmat dan salam) ke atas ahli keluarga dan para
sahabat baginda setiap kali kerlipan mata dan hampusan nafas dengan
bilangan semua yang diketahui olehMu (Ya Allah).
Menjawab Tohmahan Ke Atas Selawat Tafrijiyyah, Thibb dan Nariyyah.
Berselawat ke atas Nabi SAW adalah antara amalan yang paling afdhal dan
mengandungi ganjaran yang sangat besar. Ia juga merupakan satu wasilah
(jalan) untuk lebih dekat dan dikasihi Rasulullah SAW. Antara selawat
yang masyhur diamalkan ialah Selawat Thibb dan Selawat Tafrijiyyah.
Walau bagaimanapun, ada pendapat yang mengatakan mengamalkan membaca
Selawat Thibb dan Selawat Tafrijiyyah adalah bid'ah dholalah, malah
keduanya mengandungi unsur syirik. Pernyataan ini ternyata sangat jauh
daripada kebenaran (haq).
Kelebihan Berselawat.
Rasulullah SAW bersabda mafhumnya, "Sesiapa yang berselawat ke atasku
sekali selawat, maka Allah akan menurunkan sepuluh rahmat kepadanya dan
menghapus sepuluh kesalahannya" (Riwayat an-Nasa'i). Dalam hadis lain,
Rasulullah SAW bersabda mafhumnya, "Sesiapa yang berselawat ke atasku
sehari sebanyak seratus kali, maka Allah akan memenuhi seratus hajatnya,
70 di antaranya nanti di akhirat dan 30 di dunia" (Lihat
Jam al-Jawami',
m/s 796). Al-Arif Billah, Syeikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani telah
menulis tentang fadhilat selawat dan jenis-jenis selawat dalam kitabnya
Afdhal ash-Shalawat 'ala Sayyid as-Sadat.
Dalam beberapa ayat Allah SWT memerintahkan menghormati Rasulullah.
Allah sendiri memuji budi pekerti Rasulullah SAW. Sesiapa yang selalu
memuji dan mengagungkan baginda termasuk dalam kalangan orang-orang yang
beriman, yang cinta dan mengharapkan redha Allah dan Rasul-Nya serta
termasuk orang ahli takwa.Antara ayat-ayat tersebut seperti dalam Surah
al-A'raf : 157, Surah al-Hajj : 30, 32, Surah al-Hujurat : 4, Al-Ahzab :
21, 56, al-Qalam : 4, Al-Fath : 8-9, At-Taubah : 128 dan beberapa surah
yang lain.
Perspektif Terhadap Selawat Thibb Dan Tafrijiyyah.
Selawat Thibb dan Selawat Tafrijiyyah adalah selawat yang dikarang oleh
para ulama' yang soleh, melalui ilham dan kurniaan Allah kepada mereka.
Walaupun kedua-dua selawat ini bukan daripada Nabi SAW, para ulama'
membolehkan mengamalkannya kerana kandungannya memuji Nabi dan
mengagungkan baginda SAW. Allah SWT menyuruh kita memuji dan
mengagungkan baginda.
Jika dikatakan bid'ah dholalah kerana ia tidak pernah disebut atau
disuruh oleh Nabi, para ulama' mengatakan apa-apa yang tidak pernah
disebut atau disuruh oleh Nabi tidak semestinya bid'ah dholalah. Saidina
Ali RA dan Ibnu Mas'ud pernah mencipta sendiri selawat ke atas Nabi,
yang selawat itu tidak pernah diajar oleh Nabi. Begitulah juga para
ulama' selepas mereka yang mencipta selawat, yang tidak pernah diajarkan
oleh Nabi. Para ulama' tidak mengharamkan perbuatan tersebut kerana
mengikut panduan daripada perbuatan para Sahabat juga.
Jika dikatakan di dalam kedua-dua selawat tersebut ada pujian yang
melampau Rasulullah SAW itu sebagai "penolong", "pembuka", "penyembuh",
"pemberi hajat" dan lain-lain yang dianggap sebagai "mengambil" sifat
Tuhan, ia dijawab, haruslah dahulu difahami dan diakui bahawa banyak
kali Allah SWT yang menyifatkan Rasulullah SAW seolah-olah seperti sifat
yang dimiliki oleh Allah juga umpamanya
Halim,
Karim,
Ra'ufur Rahim dan sebagainya.
Sifat Allah SWT yang disifatkan kepada para Rasul ini mempunyai makna
majazi (kiasan), manakala sifat yang ada pada Allah SWT adalah sifat yang
hakiki
(sebenarnya). Dalam riwayat disebutkan bahawa para Sahabat memohon
hujan dengan tawassul kepada Abbas bin Abd al-Muttalib, ayah saudara
Rasulullah SAW. Setelah bertawassul dengannya dan hujan turun, para
Sahabat berebut-rebut menyentuh Abbas dan mengatakan, "Selamat atasmu
wahai 'penurun hujan' untuk Haramain".
Para Sahabat memahami dan mengetahui bahawa 'penurun hujan' sebenarnya
adalah Allah SWT sedangkan Abbas RA adalah 'penurun hujan' secara
kiasan. Tidak ada seorang pun daripada para Sahabat mengatakan bahawa
itu ghuluw (melampau) dan boleh menjerumuskan orang kepada syirik..
Taammalu!
Jadi, apa salahnya jika kita memuji dan mengagungkan baginda dengan
sebutan 'penolong', 'pengampun dosa' dan sebagainya yang mana Allah
sendiri telah memerintahkan kepada para Sahabat untuk datang kepada
baginda agar baginda memohonkan ampun kepada Allah untuk para Sahabat
(lihat Surah an-Nisa').
Perkara tersebut masih dilakukan oleh Sahabat baginda setelah
kewafatannya. Sudah tentu semua orang tahu bahawa bukan Rasulullah SAW
yang boleh mengampunkan dosa para Sahabat, tetapi dengan perantaraan
baginda, dosa para Sahabat diampunkan oleh Allah SWT. Itulah juga yang
dimaksud oleh pengarang-pengarang kitab Burdah, Barzanji, Dhiba' dan
lain-lain yang ditulis oleh penyair dan ulama' terkenal ini yang
sebahagian besar isinya memuliakan, mengagungkan Allah SWT dan
pesuruh-Nya, Rasulullah SAW serta kiasan sebagai 'penolong', 'pengampun
dosa' dan sebagainya.
Peribadi serta kedudukan Rasulullah SAW adalah sangat tinggi sekali dan
selayaknya dipuji dan diagung-agungkan dan ia bukanlah termasuk di dalam
perbuatan ghuluw (melampau). Perintah selawat pada ayat 56, Surah
al-Ahzab dan firman-firman-Nya yang lain menurut ulama' tetap berlaku
walaupun Rasulullah SAW sudah wafat.
Tuduhan Ke Atas Selawat Nariyyah.
Ada seorang tokoh agama dari negara Arab, daripada sebuah kumpulan yang
mendakwa mengajak kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah berkata,
"Selawat an-Nariyyah sangat terkenal dalam masyarakat dan ada yang
meyakini bahawa orang yang membacanya sebanyak 4444 kali dengan niat
menghilangkan kesusahan dan kepayahan atau berniat ditunaikan hajat,
akan mendapat apa jua yang diniatkan. Ini merupakan pandangan yang
keliru dan tidak ada dalilnya sama sekali. Tambahan lagi, jika kamu tahu
isinya dan melihat adanya kesyirikan secara terang-terangan di
dalamnya".
Beliau berkata lagi, "Sesungguhnya akidah tauhid yang diseru oleh
al-Quran dan diajar kepada kita oleh Rasulullah mewajibkan setiap Muslim
meyakini bahawa hanya Allah yang berkuasa memberi ketenangan di dalam
hati, menghilangkan segala kesusahan, memenuhi segala keperluan dan
mengabulkan permintaan orang yang meminta kepada-Nya. Oleh itu, seorang
Muslim tidak boleh berdoa selain kepada Allah untuk menghilangkan
kesedihan atau menyembuhkan penyakitnya, walaupun yang dimintanya adalah
malaikat atau nabi yang terdekat dengan Allah. Al-Quran mengingkari
perbuatan berdoa kepada selain Allah, sama ada kepada para Rasul atau
para wali..."
Untuk menjawab pernyataan ini, marilah meneliti beberapa perkara :
Adalah sangat benar bahawa seseorang tidak boleh berdoa kepada selain
Allah untuk menghilangkan kesedihan atau menyembuhkan penyakitnya dan
sebagainya. Walau bagaimanapun, di dalam Selawat an-Nariyyah tidak ada
satu kalimah pun yang menunjukkan berdoa atau memohon kepada Nabi
Muhammad SAW. Sebaliknya doa dan permohonan tersebut adalah ditujukan
hanya kepada Allah.
Berdoa kepada Allah SWT dengan berkat Nabi Muhammad SAW supaya terlepas
segala ikatan, lenyap segala kesedihan, terpenuhi segala keperluan,
tercapai segala kesenangan dan mendapat pengakhiran yang baik (
husnul khatimah)
juga agar diturunkan hujan, adalah bertawassul kepada baginda dan
bertawassul sebegini dibenarkan syarak kerana meminta kepada Allah,
dengan berkat, Nabi Muhammad SAW yang sangat hampir dan dekat kepada
Allah. Fahamilah sebaik-baiknya perkara ini....
Sebab utama kenapa kumpulan yang mengatakan selawat ini tidak boleh
diamal, lalu mengaitkan dengan adanya unsur syirik adalah kerana ia
tidak berasal daripada Nabi. Kata mereka, apa-apa sahaja yang tidak
berasal daripada Nabi SAW adalah bid'ah dholalah, mengamalkannya adalah
sesat dan orang yang mengamalkannya adalah ahli bid'ah yang sesat. Ini
adalah suatu kekeliruan yang sangat jauh daripada ilmu yang sebenar.
Para sahabat sendiri membolehkan mencipta atau menyusun selawat Nabi
sendiri. Saidina Ali RA mencipta selawat Nabi sendiri seperti yang
diriwayatkan oleh Salamah al-Kindi yang dinukil daripada kitab
asy-Syifa' karangan al-Qadhi 'Iyadh. Malah, Saidina Ali mengagungkan Rasulullah SAW dengan gelaran '
Al-Fatih'
(yang membuka segala kesusahan), yang dnilai syirik oleh kumpulan yang
membid'ahkan menggunakannya. Saidina Abdullah bin Mas'ud RA juga
mencipta selawat Nabi sendiri. Alim Quraisy, Imam asy-Syafi'i juga
mempunyai selawat Nabi sendiri yang ditulis dalam kitabnya,
ar-Risalah. Ibnu Qasim al-Ghazzi menulis selawat Imam asy-Syafi'i ini dalam kitabnya,
Fath al-Qarib al-Mujib, kitab syarah kepada
Matan Abi Syuja'.
Syeikh Yusuf an-Nabhani di dalam kitabnya
Syawahid al-Haq
menyebutkan banyak selawat yang dikarang sendiri dan diamalkan oleh para
ulama' agung dalam beristigahthah kepada Allah SWT seperti Syeikh Abdul
Qadir al-Jailani, Hujjatul Islam Imam al-Ghazalli, Syeikh Abu Hasan
asy-Syazili, Sayyidi Ali Wafa, Imam as-Subki, Imam ar-Ramli asy-Syafi''i
dan ramai lagi. Jika para sahabat dan para ulama' besar Ahlus Sunnah
Wal Jama'ah mencipta dan beramal dengan selawat Nabi SAW yang dibuat
sendiri, apakah perbuatan mereka dianggap sebagai bid'ah dholalah dan
mereka tergolong dalam ahli bid'ah yang sesat?
Apa yang menghairankan kumpulan ini melabelkan bid'ah kepada sesiapa
yang beramal dengan selawat Nabi yang dicipta sendiri, tetapi tidak pula
melabelkan begitu kepada para ulama' mereka yang menulis dan mencipta
selawat yang bukan daripada Nabi. Sekadar mengambil beberapa contoh
sahaja.
1 - Lajnah Fatwa Kerajaan Arab Saudi dalam Muqaddimah Dokumen fatwanya menulis :
اَلصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى مَنْ لَا نَبِيَّ بَعْدَهُ
2 - Syeikh al-Albani dalam
Majmu' Fatawanya menulis :
وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى الرَّسُولُ الْكَرِيمِ مُحَمَّدٍ بْنِ عَبْدِ اللهِ الصَّادِقُ الْاَمِينِ
3 - Syeikh Ibn Utsaimin meulis dalam
Majmu' Fatawa Ibn Baz :
وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى نَبِيِّنَا وَسَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الْاَمِينِ وَعَلَى اَلِهِ وَصَحَابَتِهِ أَجْمَعِينَ
Jelas, semua
shighah (ucapan) ini tidak datang kepada Rasulullah sAW.
Kesimpulannya, jika dikatakan lebih afdhal beramal dengan selawat yang
shighahnya
datang daripada Rasulullah SAW sendiri, bukan yang dibuat daripada para
Sahabat, mahupun para ulama', kita katakan ia adalah amat tepat sekali.
Walau bagaimanapun, kita juga mengatakan bahawa dengan selawat Nabi
yang dicipta oleh para Sahabat mahupun para ulama', bukanlah sesuatu
yang sesat atau bid'ah dholalah, bahkan ia adalah antara jalan untuk
lebih dekat kepada Allah SWT dan kepada Rasulullah SAw. Semoga Allah
mengurniakan kepada kita kefahaman yang tahqiq (benar). Amiin.
Dinaqal daripada Majalah Q&A, isu no. 13, m/s 58-59 dan isu no. 15,
m/s 7-8, oleh Ustaz Muhadir Haji Joll, terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd.
http://kefahaman-selamanya.blogspot.com/2013/04/menjawab-tohmahan-ke-atas-selawat.html