KITA mungkin boleh memaksa manusia makan, atau bercakap, atau
bergerak, atau diam atau apa sahaja tindakan fizikal. Namun kita tidak
mungkin boleh memaksa keyakinan dan kepercayaan seseorang.
Ini seperti memaksa seorang mempercayai apa yang dia tidak percaya,
atau meragui apa yang dia yakin, atau mengkufuri apa yang dia imani,
atau mengimani apa yang dia tidak dapat terima kebenarannya.
Demikian juga kita tidak boleh memaksa perasaan seseorang seperti
cinta, benci, suka, marah, sayang dan seumpamanya. Jika kita terus paksa
dengan kekuasaan dan kekerasan untuk mengungkap dengan lidah apa yang
tidak terkandung dalam jantung hatinya atau perasaannya, dia mungkin
menyatakannya dengan lidah tetapi iktikad dan perasaan akan tetap
menolak. Tiada siapa pun dalam kalangan makhluk mampu memaksa akidah
orang lain. Apa yang manusia mampu hanyalah paksaan fizikal, sedangkan
iman atau kufur seseorang tidak dapat diubah jika tidak dengan kehendak
dan kerelaan empunya diri.
Mencipta
Islam sebagai agama yang diturun oleh tuhan yang mencipta manusia,
Allah Maha Mengetahui tentang hakikat hambaNya. Maka Islam mensyaratkan
iman itu berteraskan keyakinan dalam jiwa insan. Tanpanya, iman tidak
dikira atau dinilai. Seseorang yang mengakui beriman kepada Islam dengan
cara paksaan tidak diiktiraf. Demikian seseorang yang mengakui kufur
kepada Islam dengan paksaan juga tidak hukum bersalah.
Firman Allah (maksudnya) Tiada paksaan dalam agama (Islam), kerana
sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Maka
sesiapa yang tidak mempercayai taghut serta beriman kepada Allah, maka
sesungguhnya dia telah berpegang kepada pegangan yang teguh, dan
(ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui, (Surah
al-Baqarah ayat 256). Ayat ini diturunkan kepada golongan Ansar di mana
dalam kalangan mereka mempunyai anak-anak yang telah diyahudi atau
dikristiankan.
Apabila Islam datang, mereka ingin memaksa anak-anak mereka menganut
Islam, maka Allah melarang mereka berbuat demikian sehingga mereka
sendiri membuat pilihan. Lalu diturunkan firmanNya tadi. Kata Ibn
Abbas: Ada seorang wanita yang tidak dapat mengandung. Dia bernazar
jika dia dapat anak, dia akan jadikannya beragama yahudi. Apabila Yahudi
Bani Nadir dihalau keluar dari Madinah, ada dalam kalangan mereka
anak-anak golongan Ansar. Kata ibubapa mereka: Kami tidak akan biarkan
anak-anak kami mengikut mereka, maka Allah turunkan ayat: (Riwayat Abu
Daud, dinilai sahih oleh al-Albani). Demikianlah ajaran Islam. Ibubapa
pun tidak boleh memaksa agama atau keyakinan anak sendiri, inikan pula
orang lain.
Begitulah juga, jika seseorang dipaksa mengkufuri Islam atau tidak
percaya dengan Islam, sedangkan jantung hatinya tetap dengan keimanan
dan keyakinan, maka sekalipun dia tunduk dengan paksaan tersebut,
imannya tetap sah dan diiktiraf di sisi Allah. Manusia hanya boleh
memaksa lidah dan anggota yang lain, tapi tiada siapa mampu memaksa
iman. Firman Allah: (maksudnya) Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah
beriman (maka baginya kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa
(melakukan kufur) sedang jantung hatinya tenang tenteram dengan iman;
akan tetapi sesiapa yang terbuka dadanya menerima kufur maka atas mereka
ditimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.
(Surah al-Nahl, ayat 106).
Jelas, iman tidak boleh dipaksa. Ia masuk ke dalam dada insan dengan
rela dan keyakinan. Demikian kekufuran juga tidak boleh dipaksa. Ia
bersarang dalam dada insan dengan pilihannya. Cumanya ada sebab-sebab
yang membawa kepada iman atau tidak berimannya seseorang. Hujah dan
alasan yang diterima oleh akal dan ruh insani menyebabkan insan
mempercayai sesuatu atau mengingkari sesuatu.
Maka Islam sebelum menghukum iman atau kufur atas seseorang
mewajibkan Iqamah al-Hujjah (penegakan hujah). Setelah ditegakkan hujah
dan alasan yang kukuh, jika dia terus membantah dan tidak menerima
sedangkan dia tahu dari segi hujah dan alasan Islam ini benar, maka
ketika itu dia dianggap sebagai kufur. Firman Allah: (maksudnya)
Sesiapa yang beroleh petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka
sesungguhnya faedah petunjuk itu hanya kepada dirinya sendiri, dan
sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya
ditanggung oleh dirinya juga, dan seseorang yang boleh memikul, tidak
akan memikul dosa perbuatan orang lain, dan tiadalah Kami (Allah)
mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (Surah
al-Isra, ayat 15). Ayat ini adalah kaedah teras yang mesti difahami oleh
setiap muslim. Allah Yang Maha Suci tidak akan menanggung dosa
seseorang ke atas orang lain dan tidak akan mengazabkan seseorang
melainkan setelah diutusnya rasul yang menegakkan hujah. Apabila datang
rasul, atau wakil rasul, atau apa sahaja saluran yang menyampaikan hujah
dan bukti rasul terhadap kebenaran petunjuk Allah kepada seseorang
sehingga dirinya akur bahawa ini merupakan ajaran Allah, maka jika dia
menolak, dia layak untuk dihukum di Hari Pembalasan kelak.
Sebaliknya, jika hujah yang kukuh mengenai Islam atau ajaran rasul
itu tidak sampai kepadanya, maka dia tidak akan diazab oleh Allah
sekalipun kita memanggilnya kafir atau seumpamanya. Bahkan kita pula
yang mungkin diazab oleh Allah jika kita tidak menerangkan ajaran Islam
yang telah sampai kepada kita, atau kita tunjukkan contoh buruk sehingga
dia salahfaham terhadap Islam. Jika kita memahami hakikat ini, tentu
kita akan mendahulukan dakwah daripada kekerasan. Persoalan yang patut
kita semua tanya, apakah mereka yang kita anggap sebagai kaum kafir itu
telah sampai kepada mereka hujah yang benar lagi teguh tentang Islam
ini? Atau, mungkin kebanyakan mereka itu jahil? Atau mungkin sebahagian
mereka telah disalahfahamkan hakikat Islam yang sebenar oleh musuh-musuh
Islam, atau mungkin juga oleh tindakan sebahagian orang Islam sendiri.
Manusia
Dalam kalangan manusia, golongan yang paling jauh dari Islam adalah
puak atheis yang tidak percaya kepada Tuhan sama sekali. Manusia
beragama, walau apapun agamanya, sekurang-kurangnya mereka maju setapak
dengan percaya tentang kewujudan dan kekuasaan Tuhan. Justeru
menghormati nilai tersebut maka Islam tidak memusnahkan tempat-tempat
ibadat mereka tanpa alasan yang benar. Bahkan melindunginya, jika itu
merupakan hak mereka. Ini seperti firman Allah: (maksudnya) Dan
kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan
setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta
gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum
Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama
Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong
sesiapa yang menolong agamaNya; sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha
Kuasa. (Surah al-Baqarah, ayat 251). Ini menunjukkan walaupun Islam
hanya mengiktiraf dirinya sebagai agama yang diredhai Allah, namun dalam
masa yang sama Islam menghormati hak dan nilai beragama, kerananya
Islam melindungi mereka.
Dalam kalangan agama-agama yang ada, agama yang mempunyai unsur-unsur
langit seperti Yahudi dan Kristianlah yang lebih dekat dengan Islam.
Ini kerana kesan ajaran nabi-nabi terdahulu yang masih terdapat dalam
agama tersebut menjadikan banyak persamaan antara mereka dengan Islam.
Justeru, Islam walaupun mengecam Ahlul Kitab (Yahudi dan Kristian) atas
pengubahan kitab, kesyirikan mereka dan salahguna agama tetapi Islam
tetap mengizinkan memakan sembelihan mereka dan berkahwin dengan wanita
mereka yang bukan lacur. Tujuannya untuk membawa mereka kepada ajaran
Islam yang sepatutnya mereka ikuti. Isam tahu kesan agama langit dalam
jiwa mereka memudahkan mereka menerima Islam jika mereka tidak takabur.
Firman Allah: (maksudnya) Demi sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad)
akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang
yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan Demi
Sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih
mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang- orang yang
berkata: Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani yang demikian itu,
disebabkan ada antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan
kerana mereka pula tidak berlaku sombong. (Surah al-Maidah, ayat 82).
Iman tidak boleh dipaksa. Cuma sebab-sebab manusia menerima Islam
disebabkan alasan yang dapat diterima oleh akal dan ruh insan.
Mempercayai Tuhan adalah selangkah ke arah Islam. Mengetahui dan
mengiktiraf ajaran Allah kepada nabi-nabi yang terdahulu adalah
selangkah yang mendekatkan lagi manusia kepada Islam.
Apa yang tinggal peranan kita menjelaskan Islam yang sebenar.
Janganlah pula kita yang merosakkan gambaran Islam yang mulia dan suci
ini.


No comments:
Post a Comment