IKLAN TRADE FOREX ... HOT FOREX ..

HotForex Gold & Silver

Friday, 20 December 2013

Didik hati taati perintah agama


Kehidupan yang kita tempuhi hari ini adalah kurniaan Allah SWT amat berharga dan tinggi nilainya. Sejajar itu, mukmin hendaklah sentiasa kembali mentaati perintah Allah SWT, mematuhi suruhan-Nya, menjauhi larangan-Nya dan menjadikan agama-Nya sebagai satu-satunya cara hidup sempurna.

Bagi memenuhi tuntutan itu, hati mesti diambil berat, dijaga, dikawal, dibentuk, diproses dan dididik sebaik-baiknya.

Sabda Rasulullah SAW: “Di dalam jasad itu ada seketul daging, apabila rosak, maka rosaklah badan seluruhnya dan apabila sihat maka sihatlah badan seluruhnya, dia ialah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Firman Allah SWT dalam hadis Qudsi yang bermaksud: “Langit dan bumi tidak dapat meliputi-Ku. Hanya hati manusia yang dapat meliputi-Ku. Hai anak Adam, Aku telah menciptakan taman bagimu, dan sebelum kamu boleh masuk ke taman ciptaan-Ku, Aku usir syaitan dari dalamnya. Dan dalam dirimu ada hati, yang seharusnya menjadi taman yang engkau sediakan bagi-Ku.”

Manusia menganggap kejayaan dan ketenangan akan dapat dicapai setelah segala cita-cita serta keinginan dapat dimiliki sepenuhnya. Namun, semua itu tidak akan dapat memberikan ketenangan jiwa selagi dia tidak menemui jalan Tuhannya yang sebenar.

Allah SWT menjadikan kebenaran dan keinginan hidup sebagai fitrah dalam jiwa manusia dengan menuntut keredaan-Nya. Jiwa seseorang akan menderita jika menyeleweng daripada fitrah ini walaupun mendapat segala keinginan diimpikan.

Kekosongan akan tetap dirasai jika tidak mengisi kehidupan mengikut landasan telah digariskan Allah SWT. Kepincangan ini dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesiapa yang berpaling (tidak mengikut) daripada peringatan-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan Dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.” (Surah Taha, ayat 124)

Tidak memiliki jiwa luhur

Ramai keliru lantaran kegagalan menemui jalan Tuhan yang sebenar dan kewujudan-Nya. Jiwa mereka menderita kerana jalan dituju tidak tepat akibat tidak memiliki jiwa yang luhur untuk sampai kepada Tuhan yang sebenar.

Memiliki jiwa yang luhur, manusia akan sampai kepada darjat terbaik di sisi Allah SWT. Nabi dan rasul memiliki jiwa ini sehingga mereka mendapat watikah pelantikan khusus daripada Allah SWT.

Kita dapat melihat melalui gambaran al-Quran mengenai Saidatina Maryam, Ibrahim, Ismail, Idris, Daud, Ayub, Zulkifli dan lainnya. Segala-galanya bermula dengan hati yang luhur dan suci sebelum mereka diangkat oleh Allah SWT kepada kedudukan yang tinggi.

Apatah lagi kehebatan yang dimiliki hati Baginda SAW yang sudah dimaklumi kita semua. Kita juga melihat apa yang berlaku kepada sahabat Baginda SAW serta ulama terdahulu yang telah mencapai kepada tahap jiwa yang tinggi.

Di samping itu, seseorang yang mengetahui kebenaran tidak semesti akan mengikut kebenaran disebabkan hati yang sakit dan mati. Justeru, Allah SWT mendedahkan sikap buruk ulama Yahudi dengan firman-Nya yang bermaksud: “Orang yang Kami berikan Kitab itu (ulama ahli Kitab) mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) seperti mana mereka mengenal anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian daripada mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 146)

Kitab terdahulu iaitu Taurat dan Injil menggambarkan kenabian Muhammad SAW dengan terperinci selaku rasul yang akan diutuskan. Namun, kerana hati kotor yang mereka miliki telah menewaskan hakikat kebenaran yang mereka ketahui. Hidayah tidak akan datang kepada mereka yang melebihkan dunia daripada akhirat. Hati yang tidak sanggup tunduk dengan kebesaran Allah SWT tetap akan disisihkan daripada petunjuk dan hidayah-Nya.

Allah SWT mengingatkan kita dan sesetengah golongan ilmuwan bahawa pengetahuan mengenai kebenaran kadangkala tidak dapat mendominasi kekuatan penyakit yang ada dalam hati sehingga menjurus kepada kepentingan diri serta kedudukan yang diperoleh.

Oleh sebab itulah kita perlu memohon petunjuk kerana kita memerlukan bantuan kekuatan untuk mengikut jalan yang benar. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Setelah manusia sampai ke peringkat dewasa dan sampai ke peringkat umur 40 tahun, dia berdoalah: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amalan soleh yang Engkau redai; dan baikilah untukku dan anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu, dan Sesungguhnya aku dari orang Islam (yang tunduk patuh kepada-Mu).” (Surah al-Ahqaf, ayat 15).


Terima taufik dan hidayah

Menunjukkan bahawa bantuan daripada Allah SWT amat diperlukan untuk menyempurnakan tanggungjawab terhadap kebenaran. Orang yang mendapat taufik dan hidayah ertinya dia telah mendapat bantuan Allah SWT untuk mengamalkan Islam sepenuhnya.

Rasulullah SAW bersabda: “Firman Allah Taala: Wahai hamba-Ku, Aku telah haramkan ke atas diri-Ku kezaliman dan Aku jadikan kezaliman itu juga haram ke atas kamu semua maka janganlah berlaku zalim sesama sendiri. Wahai hamba-Ku, semua kamu adalah sesat kecuali orang yang mendapat petunjuk-Ku, maka mintalah hidayah daripada-Ku, nescaya akan Aku berikan. (Hadis Qudsi riwayat Muslim)

Tanpa bantuan daripada Allah SWT, insan tidak mampu menyempurnakan tanggungjawab terhadap kebenaran dan memperjuangkannya. Perlu diingat bahawa mereka yang jauh daripada petunjuk akan mendapat kemurkaan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan adapun kaum Tsamud, maka mereka telah Kami beri petunjuk tetapi mereka lebih menyukai buta (kesesatan) daripada petunjuk, maka mereka disambar petir azab yang menghinakan disebabkan apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah Fushshilat, ayat 17)

No comments:

Post a Comment