IKLAN TRADE FOREX ... HOT FOREX ..

HotForex Gold & Silver

Sunday 9 February 2014

Sepahtu ungguli MLM 2013



KUMPULAN Sepahtu memberi aksi spontan saat diumumkan sebagai juara Maharaja Lawak Mega 2013.



PERSEMBAHAN bersahaja kumpulan Sepahtu pada pertandingan akhir Maharaja Lawak Mega 2013 (MLM 2013) di Stadium Malawati, Shah Alam kelmarin sudah dapat diduga.
Tepukan gemuruh serta sorakan daripada hampir 10,000 penonton usai persembahan Sepahtu seakan-akan memberi isyarat bahawa kumpulan tersebut bakal dinobatkan sebagai juara program realiti itu.
Kemenangan Sepahtu yang dianggotai Mohd. Nadzri Zainal Abidin (Jep), Shahmira Muhammad (Shuib) dan Rahim Mat Ali (Rahim R2) sebenarnya rentetan daripada undian terkumpul sebanyak 25 peratus sejak MLM 2013 bermula lebih 12 minggu lalu. Program akhir itu turut disertai kumpulan Shiro, Bocey, Jambu dan peserta solo, Nabil.
Persembahan mantap yang ditonjolkan secara konsisten pada segmen muzikal dan tema bebas itu ternyata memberi kelebihan kepada kumpulan Sepahtu untuk meraih dominasi undian SMS.
Bermodalkan gaya serta identiti tersendiri, mereka mencipta sejarah tersendiri apabila meraih markah tertinggi sebanyak 72 peratus sekali gus menewaskan empat finalis pada malam itu.
Strategi 70 peratus markah disumbangkan oleh panel juri tetap manakala bakinya menerusi undian SMS penonton di rumah banyak memberi kelebihan kepada Sepahtu.
Kesemua persembahan diadili oleh pengarah dan penerbit filem terkenal, Datuk Yusof Haslam; pelakon, Nora Danish; pelakon Indonesia, Luna Maya dan rapper Singapura, Sheikh Haikel.
Menurut Yusof, kemenangan yang berpihak kepada kumpulan Sepahtu merupakan hasil usaha keras mereka.
Tambahnya, setiap kumpulan mempunyai kekuatan tersendiri dan persembahan yang ditampilkan menepati kehendak penjurian.
"Saya dan juri-juri yang lain ada berbincang mengenai kumpulan Sepahtu pada MLM 2013 minggu lalu. Sekiranya Sepahtu tidak menunjukkan peningkatan pada pertandingan akhir MLM 2013, mereka berada di zon bahaya.
"Namun, saya lihat kumpulan Sepahtu berjuang habis-habisan. Malah, setiap peserta tidak dinafikan mempunyai kekuatan tapi ini semua rezeki Allah. Perjuangan untuk beraksi di pentas komedi bukan terhenti di sini," ujar Yusof.
Mengulas mengenai kemenangan Sepahtu, Jep memanjatkan kesyukuran kepada Allah atas kemenangan yang berpihak kepada kumpulannya.
"Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana peminat tidak henti-henti menyokong kami. Terlalu besar pengorbanan mereka sehingga kami bergelar juara MLM 2013 pada musim kali ini.

BARISAN panel juri tetap yang terdiri daripada (dari kiri) Yusof Haslam, Luna Maya, Sheikh Haikel dan Nora Danish.


"Kami sedikit kecewa pada minggu lalu apabila gagal menghiburkan peminat di Johor sewaktu melakukan persembahan di sana.
"Namun, menerusi kekecewaan itu kami bangkit dan mahu menebus kesilapan yang telah dilakukan. Mungkin kami leka, tetapi kami bersyukur peminat masih memberikan sokongan sehingga ada yang membuat kenduri doa selamat," ujarnya.
Nabil tercorot
Bercerita mengenai hadiah kemenangan, Jep berkata, ganjaran wang tunai sebanyak RM500,000 itu akan diagihkan sama rata antara mereka bertiga.
"Kedudukan Rahim bersama Sepahtu buat masa ini hanya untuk projek MLM 2013 dan untuk selanjutnya kami belum dapat tentukan.
"Dia akan kembali bergerak bersama kumpulan R2 kerana Rahim diundang buat sementara. Saya kira, perkara ini tidak jadi masalah kerana masing-masing memahami perkara tersebut," katanya.
Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh kumpulan Shiro yang dianggotai oleh Shahrol Azizie Azmi (Shahrol) dan Mohamad Hanaffi Razak (Ajak) yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM250,000 dan trofi sumbangan Astro.
Kemenangan tempat ketiga begitu mengejutkan apabila kumpulan Bocey yang dianggotai oleh Mohd. Nasir Hamzah (Acey), Syed Umar Makhtar Syed Mohd. Redzuan (Abam) dan Muhammad Fadzlie Mohd. Nizam (Fad) berjaya mengalahkan pelawak senior seperti Jambu dan Nabil.
Kumpulan Bocey berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000 dan trofi sumbangan Astro manakala kumpulan Jambu yang dianggotai oleh Zamatul Amir (Tauke) dan Yusri B Edoo (Pak Yus) mendapat tempat keempat.
Mereka berjaya meraih hadiah wang tunai RM50,000 dan trofi sumbangan Astro.
Nabil yang merupakan juara Raja Lawak musim kedua terpaksa berpuas hati dengan kedudukan tercorot namun dia tetap membawa pulang wang tunai berjumlah RM15,000.
Sementara itu, Ketua Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata, pihaknya sudah menyusun pelbagai program pada tahun ini untuk memastikan rancangan komedi terus dimainkan di televisyen.
"Malah, perancangan untuk meneruskan MLM sudah pun bermula. Jika tiada halangan MLM 2014 akan bermula pada bulan Oktober nanti," kata Nizam.
Tambahnya, kesemua 16 peserta MLM 2013 memberikan impak yang positif kepada penonton sepanjang 12 minggu program realiti itu disiarkan.
Astro Warna saluran 132 meraih peningkatan dari segi jumlah rating televisyen yang secara tidak langsung membuktikan kehebatan lawak yang disampaikan mengukuhkan lagi sokongan daripada peminat, katanya.

No comments:

Post a Comment