اَلْحَمْدُ ِللهِ الْعَلِيِّ الْكَبِيْرِ، اَللَّطِيْفِ الْخَبِيْرِ، اَلْحَسِيْبِ عَلَى كُلِّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ وَالْمُجَازِى لَهَا بِمَا عَمِلَتْ، وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، أَلاَ لَهُ الْخَلْقُ وَالأَمْرُ تَبَارَكَ اللهُ رَبُّ الْعَالَمِيْنَ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. بَعَثَهُ شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيْرًا، وَدَاعِيًا إِلَى اللهِ بِإِذْنِهِ وَسِرَاجًا مُنِيْرًا. اَللَّهُمَّصَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ أُوصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
( الحشر 18 )
Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,
Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan kita mentaati segala titah perintahNya, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan tegahanNya. Sesungguhnya kebahagiaan hidup sama ada di dunia mahupun di akhirat hanyalah ditentukan oleh keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t.
Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Firman Allah dalam ayat-33 surah Luqman :
Maksudnya :Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah.
Satu demi satu tanda-tanda kiamat samada kecil ataupun besar telah diperlihatkan oleh Allah s.w.t kepada kita semuasebagai peringatan yang jelas tentang betapa hampirnya dunia ini kepada saat kehancurannya.Dunia semakin bercelaru dengan pelbagai fitnah dan kesesatan yang kacau-bilau, dan ianya seolah-olah tidak ada penghujungnya. Kita sebagai umat Islam yang beriman kepada Allah dan hari kiamat wajib mengambil semua ini sebagai amaran dan peringatan penting untuk mempersiapkan diri kita dengan amal soleh sebelum kita dijemput untuk melalui dua alam pembalasan, iaitu alam kubur dan alam akhirat yang tidak ada lagi padanya peluang untuk kita beramal soleh. Di sana adalah tempat untuk kita menerima pembalasan berdasarkan kepada apa yang telah kita lakukan ketika hidup kita pada hari ini. Ambillah pengajaran kepada jawapan Sayyidina Uthman bin Al-‘Affan apabila beliau ditanya tentang sebab kenapakah beliau menangis sehingga basah janggutnya ketika beliau berdiri di satu tanah perkuburan. Katanya:
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w ada bersabda”:
“Kubur adalah awal kehidupan akhirat.Jika seseorang itu selamat daripadanya, maka kehidupan akhiratnya akan menjadi lebih mudah, dan jika dia tidak selamat daripada seksa kubur, maka akhiratnya akan lebih mengerikan dengan penderitaan api neraka yang akan dirasainya.”
(Riwayat Ahmad dan Tirmidzi)
Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,
Firman Allah s.w.t pada ayat 155-157 dalam Surah Al-Baqarah,
Yang bermaksud :Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta (kekurangan) hasil tanaman, dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan (musibah), lalu mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami akan kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk hidayahNya.
Allah s.w.t pasti akan menguji kita semua demi untuk membezakan antara kita siapakah yang taat kepadaNya dan siapakah yang derhaka kepadaNya. Ujian Allahdatang dalam berbagai rupa dan bentuk. Antara bentuk ujian yang disebut oleh Allah s.w.t pada ayat yang dibacakan tadi ialah;
1. Ujian ketakutan : yakni takut terhadap musuh
2. Ujian kelaparan : yakni akan berlaku kepada kita kekurangan makanan, minuman yang menyebabkan manusia berada dalam kesusahan
3. Ujian kekurangan pada harta : yakni kerugian dalam perniagaan, kebakaran, kehilangan harta benda dan sebagainya
4. Ujian kekurangan manusia : yakni akan berlaku banyak kematian manusia sama ada melalui peperangan, wabak penyakit, kemalangan dan sebagainya
5. Ujian kekurangan hasil buah-buahan : yakni akan berlaku musim kemarau yang panjang hingga menyebabkan banyak tumbuh-tumbuhan yang mati sehingga menjejaskan hasil penuaian sebagaimana yang sedang kita hadapi pada saat ini.
Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,
Semua bentuk ujian ini dikenakan ke atas kita sebagai satu ujian dari Allah s.w.t untuk menguji siapakah di kalangan kita yang berjaya dan siapakah yang gagal.Ianya juga sebagai peringatan terhadap umat manusia untuk segera kembali dan menyerah diri kepada Allah s.w.t.Usah berlagak sombong dengan mendabik dada kononnya kita hebat.Walau sehebat mana pun teknologi yang kita ada, walau secanggih mana pun peralatan yang kita miliki, walau sebijak mana pun akal yang diberi, kita tetap terlalu lemah dan kerdil untuk berhadapan dengan kekuasaan Allah s.w.t.
Apakah kita lupa dengan apa yang berlaku kepada kapal penumpang ‘Titanic’ yang dilengkapi dengan teknologi yang tercanggih dan paling maju pada masa itu sehinggakan ada di kalangan jurutera-jurutera mereka pada waktu itu mengatakan dengan sombong dan bongkak bahawa “Titanic tidak mungkin akan tenggelam”. Namun Titanic yang dikatakan sebagai sebuah kapal penumpang yang termaju dan tercanggih akhirnya tunduk dibawah kekuasaan Allah dan tenggelam juga akhirnya setelah terlanggar ketulan ais atau ‘iceberg’ dalam pelayaran sulungnya pada tanggal 14 April 1912, dan ianya dianggap sebagai tragedi yang terburuk yang mengorbankan seramai hampir 1500 nyawa.
Hari ini dan saat ini perhatian dunia tertumpu kepada Pesawat MAS MH370 yang sudah seminggu hilang entah ke mana. Seluruh dunia berada dalam kebingungan. Pesawat yang dikatakan antara yang tercanggih itu tiba-tiba hilang begitu sahaja tanpa sebarang isyarat dan kemudiannya gagal pula untuk dikesan dengan kekuatan teknologi yang manusia ada pada hari ini sekalipun bantuan dating dari segenap penjuru dunia. Apakah teknologi yang mengapung dan menerbangkan kapal itu di udara?. Kalau demikianlah keyakinan seseorang maka rosaklah imannya kerana firman Allah s.w.t dalam surah Al-Mulk ayat 19,
Yang bermaksud : Apakah mereka tidak melihat dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya ia Maha melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,
Dalam menghadapi ujian dan bala’ dari Allah s.w.t lebih-lebih lagi ujian ini, kita dapat melihat berbagai aksi dan tindakan manusia untuk melepaskan diri masing-masing dari ujian dan bala’ tersebut. Antaranya;
1. Ada yang segera ingat dan kembali kepada Allah dan memohonnya kepadaNya agar dihindarkan dan diselamatkan daripada bala’ yang ditimpakan ke atas mereka. Inilah yang sepatutnya kerana semua ini milikNya belaka.
2. Ada juga kalangan mereka yang terus berputus asa dari rahmat Allah hinggakan kadang-kadang mereka menyalahkan Allah serta mempertikaikan ketentuanNya. Ini adalah bertentangan dengan ajaran dan perintah agama kita.
3. Ada juga kalangan mereka yang cuba melepaskan diri daripada bala’ ini dengan melakukan amalan-amalan syirik dan khurafat yang boleh merosakkan akidah. Sebagai contohnya ialah dengan menggunakan cara meramal atau menenung nasib, kemudian mereka mendakwa kononnya mereka dapat melihat dan mengetahui sesuatu yang ghaib. Mereka berselindung di sebalik bacaan ayat-ayat suci Al-Quran tetapi perbuatan dan amalan mereka jelas terpesong jauh dari ajaran Islam kerana tidak ada yang mengetahui sesuatu yang ghaib selain dari Allah s.w.t.
Ingatlah bahawa kita dibenarkan bahkan disuruh untuk berikhtiar serta berusaha sekadar yang kita mampu apabila kita ditimpa musibah, namun usaha dan ikhtiar tersebut hendaklah dalam bentuk yang dibenarkan oleh syara’. Jangan sama sekali kita berusaha dan berikhtiar dengan cara yang boleh merosakkan akidah serta membawa kepada syirik kepada Allah s.w.t.
Dalam hal ini, Nabi s.a.w telah pun memberi peringatan yang jelas melalui sabda Baginda yang bermaksud,
“Barangsiapa mendatangi seorang dukun, atau seorang jururamal lalu dia mempercayai apa yang dikatakannya, maka orang itu telah kufur terhadap apa yang telah diturunkan kepada Muhammad”.
(Hadis riwayat Abu Daud, At-Tirmizi dan Ibnu Maajah)
Dalam riwayat yang lain pula, Baginda Nabi s.a.w menyatakan bahawa,
“Barangsiapa yang mendatangi jururamal atau peramal lalu mempercayaiapa yang dikatakannya maka tidak diterima solatnya selama empat puluh hari” (Hadis riwayat Muslim)
Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,
Kita pada hari ini juga sangat-sangat mengharapkan hujan dari Allah s.w.t setelah berbulan-bulan negeri kita khususnya dan Negara kita amnya dilanda kemarau dan panas yang terik. Sudah pasti kemarau yang berlaku ini adalah berpunca daripada kesilapan dan kesalahan kita terhadap Allah s.w.t. Nabi Nuh a.s berpesan dan menyuruh kaumnya agar segera bertaubat kepada Allah s.w.t dalam usaha dakwahnya kepada kaumnya jika seandainya mereka inginkan hujan yang lebat turun dari langit. Maka dengan hujan ini kaumnya akan dapat menjalankan aktiviti pertanian untuk mendapatkan hasil buah-buahan, biji-bijian yang akan memakmurkan kehidupan mereka. Firman Allah s.w.t pada ayat 10-12 dalam Surah Nuh,
Yang bermaksud :"Sehingga aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Allah akan menghantarkan hujan lebat yang mencurah-curah, kepada kamu; dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).
Jangan pulak nanti muncul lagi “bomoh tikar pandai terbang” atau “bomoh bubu dan teropong” atau “bomoh kelapa muda” mendakwa mereka boleh menurunkan hujan dari langit. Islam menyediakan bentuk ikhtiar dan usaha kepada kita untuk sama-sama kita memohon hujan dari Allah s.w.t iaitu dengan beramai-ramai kita keluar ke kawasan yang lapang untuk sama-sama melaksanakan solat sunat istisqa’ bagi memohon hujan dari Allah s.w.t. Mudah-mudahan Allah s.w.t kurniakan kepada kita keamanan, keselamatan dan kesejahteraan dari perkara-perkara buruk, dan mudah-mudah Allah perteguhkan iman di dalam dada kita dalam kita menghadapi segala jenis ujian-ujian ini.
Yang bermaksud :Katakanlah lagi: "Bagaimana fikiran kamu, sekiranya air kamu hilang lenyap (di telan bumi), maka siapakah (selain Allah) yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang sentiasa terpancar mengalir?".
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
No comments:
Post a Comment