Telah berfirman Allah SWT di dalam Surah al-Isra’ ayat 4-8:
وَقَضَيْنَآ إِلَىٰ بَنِي إِسْرَائِيلَ فِي
ٱلْكِتَابِ لَتُفْسِدُنَّ فِي ٱلأَرْضِ مَرَّتَيْنِ وَلَتَعْلُنَّ عُلُوّاً
كَبِيراً * فَإِذَا جَآءَ وَعْدُ أُولاهُمَا بَعَثْنَا عَلَيْكُمْ
عِبَاداً لَّنَآ أُوْلِي بَأْسٍ شَدِيدٍ فَجَاسُواْ خِلاَلَ ٱلدِّيَارِ
وَكَانَ وَعْداً مَّفْعُولاً * ثُمَّ رَدَدْنَا لَكُمُ ٱلْكَرَّةَ
عَلَيْهِمْ وَأَمْدَدْنَاكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَجَعَلْنَاكُمْ
أَكْثَرَ نَفِيراً * إِنْ أَحْسَنْتُمْ أَحْسَنْتُمْ لأَنْفُسِكُمْ
وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا فَإِذَا جَآءَ وَعْدُ ٱلآخِرَةِ لِيَسُوءُواْ
وُجُوهَكُمْ وَلِيَدْخُلُواْ ٱلْمَسْجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ
وَلِيُتَبِّرُواْ مَا عَلَوْاْ تَتْبِيراً * عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن
يَرْحَمَكُمْ وَإِنْ عُدتُّمْ عُدْنَا وَجَعَلْنَا جَهَنَّمَ
لِلْكَافِرِينَ حَصِيراً
4. Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau.
5. Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari
dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang
kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala
ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu) dan (sebenarnya peristiwa
itu) adalah satu janji yang tetap berlaku.6. Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka dan Kami beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya.
7. Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya) dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.
8. Mudah-mudahan Tuhan kamu akan mengasihani kamu (kalau kamu bertaubat) dan jika kamu kembali (menderhaka), maka Kami pula akan kembali (menyeksa kamu di dunia); dan kami telah jadikan Neraka: Penjara bagi orang-orang kafir (pada hari akhirat).
Petikan ayat-ayat di atas merupakan satu kisah penting mengenai bangsa Yahudi. Anda perlu mengulang kembali sekurang-kurangnya kisah Nabi Ibrahim, Ishaq, Musa, Ya’qub, Yusuf, Sulaiman dan Daud yang memimpin bani Israel untuk mengetahui sejarah mereka. Allah memilih bani Israel untuk menguasai Palestin beberapa kali di bawah pimpinan nabi-nabi tadi. Ayat-ayat di atas agak mudah difahami, seperti berikut:
1. Setelah berkuasa, bangsa Yahudi akan membuat kerosakan besar di muka bumi sebanyak dua kali.
2. Setiap kali mereka membuat kerosakan, maka Allah akan menimpakan balasan kepada mereka dengan implikasi yang berbeza.
3. Balasan untuk kerosakan kali pertama, ialah mereka akan diserang oleh kaum lain yang gagah perkasa, lantas dikalahkan. Akan tetapi sebahagian mereka bertaubat, dan Allah beri mereka peluang kembali untuk berkuasa di bumi, khususnya di Jerusalem. Allah mengurniakan mereka zuriat yang banyak dan harta yang melimpah ruah untuk menguasai kembali muka bumi.
4. Setelah mendapat kuasa kembali, sekali lagi untuk kali kedua mereka akan melakukan kerosakan.
5. Balasan untuk kerosakan kali kedua ini ialah mereka akan dikalahkan dengan sehancur-hancurnya.
Saya akan cuba berkongsi tafsiran ulamak terhadap ayat-ayat di atas menerusi soal-jawab di bawah:
S: Adakah maksud kerosakan di dalam ayat di atas?
J: Allah menggunakan perkataan fasad sebagai merujuk kepada kerosakan yang dilakukan oleh Yahudi ke atas muka bumi. Di dalam bahasa Arab, fasad membawa maksud kerosakan yang dilakukan oleh seseorang yang asalnya baik, lalu bertukar menjadi jahat dan membuat kerosakan. Orang Yahudi dahulu adalah terdiri daripada bangsa terpilih, kerana mereka dipimpin oleh ramai Nabi. Mereka juga diberikan beberapa kitab dan suhuf, seperti kitab Taurat yang diwayhukan kepada Nabi Musa. Antara contoh kitab-kitab kecil lain atau suhuf yang dikurniakan Allah kepada mereka ialah kitab yang diturunkan kepada Nabi Ash’iya’, Armiya’, Kharqiyal, Daniyal dan Malakhi. Akan tetapi sejarah membuktikan yang ramai mereka, sama ada ketika nabi masih hidup, atau terutamanya selepas kewafatan nabi pemimpin mereka, menukar ajaran agama seperti di dalam kitab suci tersebut. Bahkan ada yang bertindak menyembah berhala dan lembu. Ini adalah antara kerosakan yang mereka lakukan. Setelah mereka mengubah ayat Allah, maka banyaklah lagi kerosakan-kerosakan lain yang mereka lakukan di dunia ini.
S: Di manakah kerosakan yang mereka lakukan di dalam ayat di atas? Adakah semata-mata di Jerusalem sahaja?
J: Walaupun banyak terjemahan al-Quran menyebut maksud al-ardh di dalam ayat di atas sebagai merujuk kepada Jerusalem, akan tetapi para ulamak turut berpendapat yang ianya adalah bermaksud mana-mana tempat di dunia ini secara amnya. Justeru, yang dimaksudkan dengan ayat di atas ialah orang Yahudi akan membuat kerosakan di mana-mana tempat di muka bumi sebanyak dua kali. Sebagai contoh, dalam sejarah, mereka pernah membuat kerosakan di Mesir semasa zaman nabi Musa dan di Yathrib/Madinah al-Munawwarah semasa zaman nabi Muhammad SAW. Cuma kebetulan sejarah telah menyaksikan yang mereka kerap menguasai Jerusalem berbanding tempat-tempat lain, justeru banyak kerosakan yang mereka lakukan di kota suci tersebut.
S: Merujuk ayat di atas, bilakah berlakunya kedua-dua kerosakan yang mereka lakukan di bumi ini , serta bilakah mereka dihancurkan?
J: Ulamak tidak bersepakat terhadap bilakah mereka membuat kerosakan dan dihancurkan.
Antara pandangan yang masyhur ialah seperti yang dilaporkan oleh Ibn ‘Asyur di dalam kitab tafsirnya al-Tahrir wa al-Tanwir. Bani Israel berada di kemuncak penguasaan mereka terutamanya di kota Sham yang turut meliputi Jerusalem semasa pemerintahan nabi Daud dan nabi Sulaiman. Orang Yahudi tidak menganggap Sulaiman dan Daud sebagai nabi, tetapi hanyalah sebagai raja sahaja. Nabi Sulaiman wafat sekitar 900 SM. Setelah kewafatan baginda, orang Yahudi kembali kufur dengan ajaran Allah. Mereka kembali menyekutukan Allah dan membuat zalim terhadap bangsa lain. Ini adalah kerosakan kali pertama.
Kesannya, mereka dihukum oleh Allah dengan dikalahkan oleh kerajaan Babylon di bawah pimpinan Nebuchadnezzar (dalam Arab disebut sebagai Bukhtansar) dalam beberapa siri peperangan, yang besarnya berlaku pada tahun 606 SM, 589 SM (sehingga banyak binaan emas Haikal Nabi Sulaiman dirampas oleh Babylon) dan kemuncak kejatuhannya ialah pada tahun 588 SM. Ketika itu, Jerusalem hancur musnah sama sekali, dan Haikal Sulaiman telah dibakar oleh Babylon.
Orang Yahudi telah dijadikan tawanan dan dibawa ke Babylon sebagai hamba abdi mereka. Mereka bertaubat dan kembali kepada ajaran Allah. Akhirnya, Allah kurniakan kepada mereka dengan zuriat yang ramai serta harta yang banyak di Babylon. Kebetulan, setelah kematian Nebuchadnezzar, kerajaan Babylon semakin lemah. Dan akhirnya kerajaan Babylon telah dikalahkan oleh kerajaan Parsi. Raja Parsi memberikan keizinan kepada orang-orang Yahudi untuk kembali ke Jerusalem. Sekembalinya mereka ke Jerusalem, mereka pun membina kembali Haikal Sulaiman. Setelah beberapa kali pertukaran pemerintahan di wilayah itu, akhirnya mereka membina kerajaan sendiri di sana.
Akan tetapi, orang Yahudi tidak pernah bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan kepada mereka. Mereka kembali kufur, dan membuat kerosakan kali kedua di Jerusalem. Ini termasuklah tindakan mereka membunuh nabi mereka sendiri iaitu Yahya dan Zakariya, serta membuat perancangan cuba membunuh nabi Isa.
Sebagai hukumannya, Allah mentaqdirkan yang mereka dikalahkan oleh Kerajaan Rom sekitar tahun 40 M. Orang Yahudi dikalahkan sehina-hinanya. Mereka telah dihalau keluar orang pemerintah Rom, lalu merempat di seluruh tempat di muka bumi ini. Ada yang merempat ke semenanjung Tanah Arab, seperti Yahudi Bani Nadhir dan Qainuqa’ di Yathrib, ada yang merempat ke benua Eropah dan ada juga yang merempat sehingga ke Asia jauh. Di Malaysia sendiri, terdapat perkampungan dan perkuburan orang Yahudi di Pulau Pinang.
Kerajaan Rom berkuasa di Jerusalem sehinggalah ianya dibebaskan oleh Saidina Umar al-Khattab pada tahun 16 Hijrah.
Ini adalah pandangan yang paling masyhur di kalangan para ulamak. Menurut Ibn ‘Asyur, dua kisah turut disebut di dalam kitab kecil orang Yahudi yang diturunkan kepada nabi Ash’iya’ dan Armiya’.
Di sana, ada lagi beberapa pandangan lain terhadap bilakah dua kali kerosakan. yang dilakukan oleh orang Yahudi serta dua kali hukuman kebinasaan yang Allah timpakan mereka akibat kerosakan yang mereka lakukan. Saya lebih cenderung untuk menerima pandangan al-Marhum Syeikh Mutawalli Sha’rawi, yang akan saya sentuh di dalam soal-jawab di bawah.
S: Adakah kedua-dua kerosakan itu merujuk kepada kisah silam, atau merujuk kepada kisah yang belum berlaku lagi pada masa hadapan?
J: Khilaf ulamak mengenai tafsiran ayat di atas, khususnya mengenai bilakah kerosakan yang dilakukan oleh bangsa Yahudi dan hukuman kebinasaan yang Allah timpakan kepada mereka, turut menyebabkan berlakunya khilaf ulamak terhadap persoalan adakah kedua-dua kerosakan dan kebinasaan itu telah berlaku. Atau dengan erti kata lain, adakah ayat-ayat di atas merujuk kepada kisah yang telah berlaku, atau merujuk kepada kisah yang bakal berlaku.
Saya cenderung untuk menerima pandangan Syeikh Mutawalli Sha’rawi dalam persoalan ini. Menurut beliau, sekiranya dilihat di dalam sejarah Bani Israel, sebenarnya mereka membuat kerosakan dan kemudian dibinasakan lebih daripada dua kali. Contohnya, kerosakan dan kebinasaan semasa mereka di Mesir di zaman Musa, ketika mereka berhijrah bersama Musa ke Palestin, selepas kewafatan nabi Daud dan Sulaiman, dan macam-macam lagi. Persoalannya, mengapa di dalam al-Quran disebut dua kali sahaja?
Menjawab persoalan tersebut, Syeikh Sha’rawi berkata ayat keempat di atas tidak dapat dipisahkan dengan ayat pertama surah al-Isra’ mengenai peristiwa perjalanan nabi Muhammad memasuki al-Masjid al-Aqsa. Umum mengetahui yang orang Yahudi semasa zaman awal Islam banyak membuat kerosakan khususnya di semenanjung Tanah Arab. Mereka hidup secara asabiyyah, menekan pedagang-pedagang Arab dengan riba bunga pinjaman yang tinggi serta memandang rendah orang Arab kerana kononnya merekalah bangsa yang mulia kerana mempunyai banyak nabi. Mereka juga amat mengharapkan nabi akhir zaman turun daripada bangsa Yahudi daripada keturunan Ishaq, tetapi Allah mentaqdirkan yang nabi terakhir itu ialah Muhammad daripada keturunan Ismail. Kedatangan Muhammad, bersama dengan sahabat-sahabat hamba Allah yang gagah perkasa, akhirnya mengalahkan mereka. Mereka keluar dari Semenanjung Tanah Arab selama-lamanya sehingga sekarang, dengan merujuk kepada peristiwa perang Khaibar. Ianya telah dimulakan dengan
kemasukan nabi Muhammad di dalam al-Masjid al-Aqsa dalam peristiwa Isra’. Semua peristiwa ini selari dengan firman Allah mengenai peristiwa Isra’, serta ayat-ayat pilihan di atas seperti “Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah” merujuk kepada tentera Muhammad, dan “untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama” merujuk kepada peristiwa Isra’ nabi Muhammad, dan sebahagian ulamak mentafsirkannya sebagai peristiwa pembebasan al-Aqsa di tangan Saidina Umar.
Menurut Sha’rawi lagi, kerosakan kali kedua seperti dalam ayat keenam di atas sedang dilakukan oleh Yahudi sekarang. Kita lihatlah bagaimana mereka menguasai dunia dengan proksi, mempunyai talibarut yang ramai walaupun bukan berbangsa Yahudi, dan kezaliman mereka terhadap penduduk Palestin.
Dan sekarang, kita sedang menanti bilakah hamba-hamba Allah yang gagah perkasa akan mengalahkan mereka dengan sehina-hinanya, sehingga kita semua boleh masuk kembali ke al-Aqsa dengan selamat seperti di zaman Saidina Umar. Ini semua selari dengan firman Allah “apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya) dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya”.
Selain itu, kita juga boleh memahami bahawa pengkisahan kerosakan serta hukuman ke atas Bani Israel itu sebenarnya adalah sunnatullah kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan berulang kali. Sesuatu kaum mungkin melakukan kesilapan besar di dalam kehidupan mereka. Apabila mereka dihukum di bumi lagi, maka biasanya akan ada yang bertaubat. Akan tetapi sekiranya mereka mengulangi kesilapan besar tersebut, maka sunnatullah telah menetapkan kaum ini secara umumnya akan dikalahkan sehina-hinanya. Teliti firman Allah ini:
Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.
Mudah-mudahan Tuhan kamu akan mengasihani kamu (kalau kamu bertaubat) dan jika kamu kembali (menderhaka), maka Kami pula akan kembali (menyeksa kamu di dunia).
Kesimpulan dan Pengajaran
1. Orang Yahudi dihukum Allah bukan kerana taqdir semata-mata, akan tetapi kerana keengganan, keegoan serta kedegilan mereka patuh kepada Allah secara konsisten.
2. Menurut pandangan Sha’rawi serta ramai lagi ulamak moden, kita sedang menantikan saat kehancuran bangsa Yahudi untuk kali kedua. Sama-samalah kita fikirkan bagaimana untuk menjadi sebahagian daripada hamba Allah yang gagah perkasa untuk mengalahkan orang Yahudi yang melakukan kerosakan di muka bumi sekarang.
3. Adalah menjadi sunnatullah bahawa orang yang beriman tidak boleh melakukan kerosakan besar berulang kali. Kali pertama, mungkin ada ruang kemaafan. Akan tetapi sejarah membuktikan yang kalau orang beriman itu mengulangi kesilapan besar kali kedua, maka sebenarnya mereka telah menempah tiket kebinasaan.
No comments:
Post a Comment